NIK Mohd Hasyudeen Yusoff. FOTO Arkib NSTP.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


NIK Mohd Hasyudeen Yusoff dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) bagi menggantikan Datuk Seri Zukri Samat yang tamat kontrak lebih awal atas faktor kesihatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Nik Mohd Hasyudeen berkelulusan Sarjana Perniagaan dari Universiti Teknologi Curtin, Australia.

Beliau berkata, selain itu, Nik Mohd Hasyudeen berpengalaman luas dalam bidang perakaunan, kewangan, perbankan Islam dan pasaran modal kerana dilantik sebagai ahli lembaga pengarah beberapa syarikat termasuk BIMB Holdings Berhad, Bank Islam Malaysia dan BIMB Investment Management Berhad.

“Selain itu, Nik Mohd Hasyudeen pernah menyandang beberapa jawatan kanan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif Penyeliaan Pasaran dan Korporat serta Pengerusi Eksekutif Lembaga Penyeliaan Audit.

“Perlantikan Nik Mohd Hasyudeen diharap dapat meneruskan usaha memperkukuhkan institusi yang mulia ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Mujahid berkata, Zukri berkhidmat bersama TH sejak 10 Julai 2018 dengan misi memulihkan kedudukan kewangan kumpulan itu dan berjaya melaksanakan pemulihan serta penstrukturan semula defisit.

Beliau berkata, Zukri turut memainkan peranan penting mengukuhkan proses tadbir urus serta pengurusan telus bagi menjaga kepentingan pendeposit.

“Sumbangan dan panduan digariskan meletakkan kedudukan kewangan TH menjadi lebih stabil bagi melaksanakan mandat sebagai institusi penting dalam membantu umat Islam melaksanakan Rukun Islam kelima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 9:37 PM