ANGGOTA bomba sudah memadamkan 60 peratus daripada kawasan hutan seluas 16 hektar yang terbakar di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang, Gelang Patah. FOTO ihsan Bomba
Mary Victoria Dass


SERAMAI 70 anggota bomba membabitkan 12 jentera daripada 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) berjaya memadamkan 60 peratus daripada 16 hektar kawasan hutan yang terbakar di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang, Gelang Patah, hari ini.

Kesemua anggota dan pegawai bertungkus lumus hampir 24 jam sejak kebakaran bermula, Rabu lalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam satu kenyataan berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada 11.45 pagi, 21 Ogos lalu.

Katanya, ketika itu sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebelum mendapat bantuan dari jentera dan anggota BBP berhampiran.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya berjaya memadamkan hampir 60 peratus dari keseluruhan kawasan kebakaran seluas 16 hektar itu.

Katanya, kerja pemadaman ketika ini dilakukan 70 anggota membabitkan 10 balai dan 12 jentera termasuk bantuan jentolak dari Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor dan penduduk tempatan.

“Hari ini operasi dipertingkatkan dengan pembinaan ‘fire break’ iaitu mewujudkan parit berair bagi mengelak api marak ke kawasan lain di samping pemadaman dijalankan di kawasan kebakaran.

“Operasi pemadaman api masih belum ditamatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 2:58 PM