Muhamaad Razis Ismail


LELAKI berpura-pura menempah makanan sebelum melarikan beg tangan seorang guru di sebuah kedai makan di Kampung Pauh Lima, Melor, Kota Bharu, semalam.

Dalam kejadian 7.20 malam itu, mangsa kerugian lebih RM10,000 selepas beg tangan berisi pelbagai barang termasuk wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit yang diletakkan di kerusi dilarikan suspek.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika kejadian mangsa berusia 40 tahun sedang makan bersama anak perempuannya.

“Secara tiba-tiba, dia dihampiri seorang lelaki dari arah depan yang kemudian mengambil beg tangan yang diletakkan di kerusi.

“Suspek melarikan dengan motosikal Yamaha 125Z yang nombor pendaftarannya tidak dapat dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati beg tangan itu berisi pelbagai barang milik mangsa termasuk barang kemas seperti cincin berlian, cincin emas dan gelang tangan berlian yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM10,800.


SUSPEK (bertopi keledar) berpura-pura mahu membeli makanan sebelum melarikan beg tangan mangsa. FOTO ihsan pembaca

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk salurkan kepada polis.

“Saya nasihat orang ramai supaya berhati-hati terutama ketika bawa barang berharga,” katanya.

Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 45 saat di kedai makan terbabit tular di media sosial sejak pagi ini.

Dalam rakaman itu, suspek yang memakai topi keledar biru berpura-pura menempah makanan daripada pekerja kedai makan sebelum menghampiri meja makan wanita itu dan mengambil beg tangan mangsa.

Lelaki itu kemudian dilihat melarikan diri dengan motosikal yang ditunggang rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 3:26 PM