Zatul Iffah Zolkiply


PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik cadangan pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal dalam memberi peluang pekerjaan kepada mat motor dan membantu usahawan muda di negara ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kerajaan seharusnya mengutamakan perkhidmatan teksi motosikal milik tempatan, Dego Ride berbanding Gojek.

Beliau tidak menghalang pelaksanaan perkhidmatan itu sebaliknya mahu kerajaan memberi galakan dan dokongan kepada anak tempatan.

“Kita ada yang tempatan iatu Dego Ride dan tugas kita sebagai kerajaan adalah untuk mencari kepakaran, syarikat dan usahawan tempatan untuk diberi galakan dan sokongan.

“Tidak kisah Dego Ride atau GoJek, pada saya adalah lebih baik kita bantu Dego Ride yang sudah bertapak sebelum ini kerana mereka ini mengharapkan sokongan kerajaan.

“Jika ada tawaran daripada syarikat tempatan, lebih baik ia diketengahkan dan dibantu sebelum cari di luar sempadan negara.

“Bagi saya, pilihan saya tentunya yang tempatan dan jika tiada, baru kita pilih perkhidmatan dari luar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat PKR Terengganu dan Program Dialog Terbuka di Bukit Besar, Kuala Terengganu, hari ini.


KUALA TERENGGANU 24 OGOS 2019. Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat PKR Terengganu dan Program Dialog Terbuka di Dewan Besar KEADILAN, Bukit Besar, Kuala Terengganu. NSTP/IMRAN MAKHZAN.

Sebelum ini, Dego Ride yang diasaskan anak tempatan, Nabil Feisal Bamadhaj pada November 2016 diharamkan beroperasi pada 2017 atas faktor keselamatan.

Rabu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan kabinet sebulat suara meluluskan modal ekonomi GoJek atau Dego Ride.

Idea perkhidmatan itu dibangkitkan susulan satu mesyuarat antara Syed Saddiq dan pengasas Gojek Indonesia, Nadiem Makarim dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada masa sama, Nabil berharap kerajaan tidak mengetepikan Dego Ride yang pernah menyediakan perkhidmatan itu di negara ini dan diberikan peluang serta mendapat keutamaan untuk pasaran khusus dalam menyediakan perkhidmatan yang seumpamanya dengan pemain industri lain.

Mengenai Gojek, katanya, pembabitan syarikat rangkaian pengangkutan dan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia, sebagai satu persaingan sihat.

Berita berkaitan:

  • 'Cuma beri cadangan, GoJek belum mohon'
  • Dego Ride setuju!
  • Sebulat suara lulus Go-Jek
  • Kerajaan ikhlas bantu 'mat motor' [METROTV]
  • GoJek lulus!
  • Dego RIDE operasi haram

  • Dego RIDE beroperasi tanpa kebenaran
  • 'Gelombang' teksi motor [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 7:18 PM