GAMBAR hiasan
Fardy Bungga


REMAJA lelaki berusia 19 tahun putus tendon pergelangan tangan kiri selepas ditetak rakan sekampung di Kampung Saguking, Labuan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, remaja terbabit turut luka di atas kening kiri akibat terkena parang dipercayai ketika bergelut dengan lelaki berusia 21 tahun yang menyerang mangsa.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa yang duduk di luar rumahnya didatangi oleh suspek dalam keadaan mabuk.

Katanya, suspek meminta rokok daripada mangsa namun selepas diberikan, mangsa dikatakan mentertawakannya sehingga menyebabkan suspek marah dan terus mengambil parang yang dijumpai di Jambatan Kampung Saguking sebelum itu.

“Suspek kemudiannya kembali ke rumah mangsa dan terus menetak remaja terbabit. Kejadian disedari sepupu mangsa yang keluar membantu selepas terdengar jeritan di luar rumah.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Farid berkata, mangsa terpaksa menjalani pembedahan untuk menyambung tendon yang putus dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil serta masih mendapatkan rawatan susulan di hospital berkenaan.

Katanya, bertindak atas laporan, suspek ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pihak Polis turut berjaya merampas sebilah parang berukuran 56cm yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan. Suspek kini direman selama 7 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dan suspek yang masing-masing tidak bekerja saling mengenali sesama sendiri dan juga rakan sekampung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 7:49 PM