WONG (tengah) bergambar bersama pelajar dan kakitangan SMK Seri Kampar yang mereka cipta replika sarang burung tempua terbesar dalam negara. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kampar di Kampar mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi reka cipta replika sarang burung tempua terbesar di negara ini.

Replika sarang burung tempua setinggi 10 meter dan lebar 6.66 meter itu dihasilkan oleh 700 pelajar, 100 guru serta 40 penduduk setempat.

Pengesahan rekod diumumkan Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong pada majlis perasmian projek reka cipta replika sarang burung dan penyerahan sijil di Dewan Besar sekolah berkenaan di Kampar, hari ini.

Pengarah projek, Muzafar Saari, berkata, replika itu mengambil masa empat bulan untuk disiapkan bermula Mei lalu dengan menggunakan bahan alam semula jadi yang dijangka mampu bertahan selama dua tahun.

“Idea membina sarang burung ini tercetus selepas melihat artikel mengenai Stadium Olimpik Sarang Burung di Beijing, China, jadi saya mahu membuat bentuk sama (sarang burung) tetapi dalam saiz yang boleh ditempatkan di padang sekolah.

“Namun, selepas berbincang bersama pengetua dan yang lain, replika sarang dipersetujui dibina di pokok bersebelahan dewan sekolah ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian projek itu oleh Ahli Parlimen Kampar, Su Keong Siong dan penyerahan sijil MBOR berkenaan.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Kinta Selatan, Dr Mior Hamdan Ghazali dan Pengetua SMK Seri Kampar dan penaja utama projek, Abdul Jamil Maidin.

Muzafar berkata, sarang burung tempua betina dipilih sebagai objek reka cipta itu berikutan rupa bentuknya yang unik dan falsafah baik yang tersirat di sebalik penghasilan sarang berkenaan.

“Bagi menghasilkan sarang itu, kita menggunakan 1,600 bilah buluh; satu lori tiga tan daun rumbia; setengah tan besi konkrit; 1,200 paku; dawai; tali plastik; rumput dan daun.

“Kita menggunakan kos keseluruhan hampir RM20,000 bagi memperolehi bahan termasuk kos penyertaan untuk diiktiraf oleh MBOR,” katanya.

Menurutnya, melalui reka cipta itu, ia dapat melihat sejauh mana manusia khususnya pelajar menggunakan kreativiti menghasilkan sarang burung menggunakan kaedah anyaman unik burung tempua sebenar.

“Kita mengambil masa selama sebulan hanya untuk membina rangka atas sarang sebelum seterusnya proses gabung jalin di bahagian bawah.

“Jadi menerusi projek ini, ia dapat mengembangkan bakat semula jadi pelajar, kreativiti seni di samping mencetuskan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan,” katanya.

Katanya, selain itu reka bentuk sarang digabungkan dengan kepakaran guru di sekolah berkenaan yang mempunyai pengalaman dalam bidang pembinaan, bagi menghasilkan rupa sarang burung dan ukuran yang lebih tepat.

“Kita berhadapan pelbagai cabaran, bermula daripada mendapatkan dana, mendapatkan bahan, mengawal serta memantau keselamatan pelajar yang membuat replika ini ketika waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) selain faktor cuaca angin dan hujan kuat sejak akhir-akhir ini.

“Syukur, hasil bantuan penyaluran dana dan sokongan banyak pihak, projek ini akhirnya berjaya disiapkan sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 8:07 PM