ORANG ramai membuat daftar masuk di kiosk KLIA selepas sistem kembali pulih daripada gangguan teknikal sejak beberapa hari lalu. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


SELEPAS empat hari berdepan kesukaran akibat gangguan teknikal, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini beroperasi seperti biasa.

Sistem utama lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS) sudah kembali berfungsi malah kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) juga tidak lagi dilakukan secara manual.

Susulan itu, penumpang yang ditemui melahirkan rasa lega selepas tidak perlu menunggu lama untuk daftar masuk.

Penumpang, Anjali Gautham, 45, dari India, berkata, dia tidak perlu menunggu lama kerana urusan daftar masuk di kaunter berjalan lancar.

“Saya akui KLIA berdepan tempoh sukar malah saya sudah dimaklumkan lebih awal menerusi emel bahawa penerbangan akan lewat sejam.

“Hari ini urusan daftar masuk juga berjalan lancar, hanya 15 minit dan saya berpuas hati,” katanya yang sedang menanti penerbangan ke New Delhi, India.

Penumpang yang ingin ke Perth, Australia, Chris Anns, 60, berkata, urusan daftar masuknya hari ini tidak berdepan sebarang masalah.

“Semua berjalan lancar, cuma perlu berbaris sedikit lama, tapi urusan di kaunter sangat OK,” katanya.

Penumpang tempatan, Saidatul Said, 27, berkata, dia sudah dimaklumkan lebih awal mengenai kelewatan penerbangannya ke Kota Kinabalu, Sabah.

“Saya sudah dimaklumkan penerbangan saya akan lewat satu jam, apapun saya mengikut nasihat perjalanan dikeluarkan MAHB, datang awal untuk daftar masuk.

“Semuanya berjalan lancar di kaunter, proses daftar masuk tidak terlalu lama dan harap penerbangan saya juga dapat mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

MAHB menerusi kemas kini situasi di KLIA hari ini memaklumkan, gangguan rangkaian berjaya diselesaikan dan keadaan di Terminal Utama KLIA terkawal.

“Setakat jam 11 pagi, gangguan rangkaian berjaya dipulihkan, pihak kami bagaimanapun akan terus memantau kestabilan sistem rangkaian di KLIA,” kata MAHB di Instagram mereka.

Selain itu jurucakap MAHB berkata, masalah teknikal berlaku di lapangan terbang seluruh dunia.

“Ada lapangan terbang yang terpaksa ditutup, atas sebab-sebab tertentu seperti serangan siber, protes dan masalah teknikal.

“Namun, kita bersyukur operasi KLIA masih berjalan tanpa perlu lapangan terbang ini ditutup,” katanya.

Sementara itu, MAHB menerusi Duta Airport CARE mengedarkan teh dan kopi dari 6.30 hingga 9 pagi serta pemberian pek makanan tengah hari kepada penumpang selepas mendaftar masuk.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, masalah gangguan sistem dialami di KLIA sejak Rabu lalu disebabkan kegagalan rangkaian.

Beliau berkata, sebagai langkah penyelesaian, MAHB sudah menggantikan perkakasan rangkaian berkenaan yang ketika ini sedang diuji dan dipantau kestabilannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 8:20 PM