Gambar yang dimuat naik Syed Saddiq di laman Instagram beliau ketika mengadakan pertemuan dengan Dr Zakir Naik.


SEMUA pihak perlu buka buku baru susulan permohonan maaf penceramah bebas, Dr Zakir Naik terhadap kenyataan yang menyentuh sensitiviti masyarakat bukan Islam di negara ini khususnya kaum Cina dan India.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tiada seorang pun dalam dunia ini yang bebas dari melakukan kesilapan.

“Dr Zakir Naik sudah minta maaf. Saya sendiri banyak kali lakukan kesilapan dan kena berlapang dada bila ditegur.

“Tidak perlu nak mendabik dada dan mengeruhkan keadaan lagi. Tidak perlu nak menghina dan mencaci.

“Let’s move on (mari teruskan hidup). The country needs healing (negara ini memerlukan penyembuhan),” katanya dalam status yang dimuat naik di laman Instagram rasminya pada 7.45 malam tadi.

Menerusi status itu juga, Syed Saddiq turut memuat naik empat keping gambar pertemuan beliau bersama Zakir Naik.

Setakat 8.15 malam, status berkenaan mendapat lebih 11,518 tanda suka dan 380 komen dalam kalangan warganet.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, Malaysia adalah negara yang berbilang bangsa dan juga agama.

“We believe in moderation over extremism (kita percaya kesederhanaan berbanding ekstremisme). Kesatuan kita, adalah kekuatan kita.

“Setiap bangsa, ada sumbangannya yang tersendiri. Mereka adalah rakyat Malaysia, sama seperti saya.

“Mari kita terus mengikat masa depan kita bersama. Unity in diversity. Stronger, together, forever (perpaduan dalam kepelbagaian. Kekuatan, bersama, selamanya),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 8:40 PM