Mangsa cuba dibantu oleh orang awam sejurus dibawa ke darat selepas terjatuh ke dalam kolam kuari berdekatan Kampung Bukit Merah, Beseri di Padang Besar hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KANAK-KANAK lelaki lemas selepas terjatuh ke dalam kolam kuari ketika bersiar bersama rakannya berdekatan Kampung Bukit Merah, Beseri di Padang Besar petang tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Mohd Shafiq Abdul Halim, 12, meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian pada 3.56 petang.

“Ketika kejadian terdapat tiga kanak-kanak lelaki sedang bersiar-siar di sekitar kawasan kolam di kawasan kuari terbabit sebelum seorang daripada mereka tergelincir.

“Kedua-dua rakan yang melihat mangsa lemas kemudian segera meminta pertolongan penduduk kampung sebelum dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad Halim berkata, mangsa kemudian dibawa ke hospital dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis tetapi gagal diselamatkan selepas sejam menerima rawatan di Unit Kecemasan HTF.

“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 10:39 PM