Mohd Husni Mohd Noor


TIADA sebarang aktiviti serangan siber dikesan setakat ini berkaitan insiden gangguan teknikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sejak Rabu lalu.

Perkara itu disahkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataannya, malam tadi.

NACSA memaklumkan siasatan awal yang dilaksanakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mendapati kejadian ini disebabkan kegagalan perkakasan rangkaian.

“Usaha pada masa kini ditumpukan bagi memulihkan sepenuhnya operasi di KLIA dan klia2.

Tindakan-tindakan yang perlu sudah dan sedang dilaksanakan oleh pihak MAHB untuk memastikan operasi kembali pulih seperti sedia kala dengan kadar segera.

“Pemantauan rapi dan siasatan lanjut akan terus dilaksanakan oleh NACSA bersama-sama dengan agensi-agensi terbabit,” katanya.

NACSA mula melaksanakan pemantauan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan MAHB sebaik saja gangguan mula dikesan pada 21 Ogos lalu.

NACSA ditubuhkan pada Februari 2017 sebagai agensi peneraju dalam bidang keselamatan siber, bertujuan untuk melindungi dan memperkukuhkan ketahanan negara bagi menghadapi ancaman serangan siber, melalui penyelarasan sumber dan penyatuan pakar keselamatan siber.

Berita berkaitan:

  • Siasat sebab TAMS kacau
  • Apa sudah jadi KLIA?
  • MAVCOM bimbang insiden gangguan di KLIA
  • MAHB tak minta bantuan sukarelawan
  • Kami kecewa, penat menunggu
  • KLIA terus alami gangguan sistem
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 12:22 AM
    Orang ramai membuat daftar masuk di kiosk KLIA selepas sistem kembali pulih daripada gangguan teknikal sejak beberapa hari lalu. Foto Mohd Fadli Hamzah