Nurul Hidayah Bahaudin


DUA lelaki tempatan ditahan bersama lima bungkusan dadah jenis methaphetamine seberat lebih lima kilogram dianggarkan bernilai RM255,000 dalam serbuan di sebuah premis di Serdang Perdana, Sedang, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang melakukan operasi khas kira-kira jam 10 malam.

“Hasil intipan, polis mengesan Perodua Myvi dinaiki dua suspek berada di lokasi. Seorang daripada mereka dilihat berjalan ke sebuah premis berhampiran manakala kereta dipandu seorang lagi suspek beredar dari lokasi.

“Ketika itu, suspek dipercayai dalam proses melakukan transaksi jualan dadah sebelum polis melakukan serbuan.

“Ketika cuba ditahan, suspek bertindak agresif menyebabkan berlaku pergelutan manakala rakannya yang memandu kereta ditahan di sebuah stesen minyak berhampiran kira-kira 30 minit kemudian,” katanya pada sidang media di IPD Serdang, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, pemeriksaan dilakukan dalam beg galas dibawa suspek menemui lima bungkusan dadah jenis methaphetamine dibungkus dalam bungkusan teh seberat 5,184.47 gram dianggarkan bernilai RM255,000.

“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek berusia awal 30-an mengaku mendapatkan bekalan di sempadan Malaysia-Thailand dan mengedarkan dadah terbabit di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

“Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah membabitkan kes dadah. Mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 30 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita Perodua Myvi digunakan suspek untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung pengedaran dadah diminta tampil di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 12:37 PM
MOHD Rosdi (tengah) menunjukkan dadah dirampas ketika sidang media di IPD Serdang. FOTO SUPIAN AHMAD