MAT Zin yang dilaporkan hilang dari rumahnya sejak 8 Ogos lalu. FOTO IHSAN PEMBACA
Safuri Kamarudin


PENCARIAN seorang warga emas yang hilang di Baling masih diteruskan meskipun sudah memasuki minggu ketiga.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, warga emas terbabit, Mat Zin Taib, 83, dari Kampung Bandar, Mukim Siong masih gagal dikesan sejak dilaporkan hilang 8 Ogos lalu.

Beliau berkata, operasi masih diteruskan membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

“Seramai 30 anggota dikerah mencari di sekitar hutan Kampung Tandop Keling, Jalan Lorong Kubur Masjid Siput dan Kampung Bandar.

“Ada penduduk melihat kelibat warga emas ini di hutan itu dan usaha mengesan serta mencari diteruskan di lokasi berdekatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi bermula jam 10 pagi dan diteruskan sehingga petang ini.

Syed Basri berkata, minggu lalu, polis ada menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Muda untuk mencari mangsa tetapi hanya berkeliaran di persekitaran rumah dan masih gagal mengesan warga emas terbabit.

“Kawasan rumah juga tiada lubang atau telaga buruk sekiranya mangsa terjatuh,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang melihat warga emas yang hilang ini supaya melaporkan kepada polis di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi keluarganya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 1:42 PM