POLIS menahan dua lelaki termasuk merampas dadah disembunyikan dalam rak kasut di Flat Desa Wawasan, Bukit Mertajam. FOTO IHSAN PDRM
Hadzlihady Hassan


INGAT dah selamat, tapi kantoi juga. Itu yang berlaku terhadap dua lelaki apabila mereka ditahan polis selepas pemeriksaan berjaya menemui syabu disorokkan dalam rak kasut di sebuah pangsapuri di Sungai Rambai, Bukit Mertajam, kelmarin.

Dalam operasi jam 2.30 petang, sepasukan polis melakukan serbuan di kediaman itu lalu menahan dua lelaki berusia 36 serta 38 tahun untuk diperiksa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika diperiksa polis pada mulanya tidak menemui apa-apa barang menyalahi undang-undang.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut pada rak kasut berhampiran suspek berjaya menemui sepaket plastik lutsinar mengandungi syabu.

“Selain itu, satu botol plastik diubahsuai sebagai alat menghisap dadah dan pemetik api turut ditemui di dalam rak kasut,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai tiga dan lapan rekod lampau bersabit kes dadah.

“Seorang daripada suspek bekerja sebagai buruh manakala rakannya tidak bekerja dan dipercayai menjadikan rumah berkenan sebagai tempat melepaskan gian menghisap dadah.

“Mereka kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah SPT bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 4:47 PM