Anggota bomba memotong gari dengan menggunakan peralatan khas. Gambar kecil, gari yang berjaya dibuka. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS terpaksa meminta bantuan bomba bagi membuka gari Orang Yang Disyaki (OYDS) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam selepas kunci gari itu patah.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, anggota pengawal OYDS itu mendapati kunci berkenaan patah dan tertinggal di dalam gari itu ketika membukanya bagi tujuan serah tugas.

“Selepas cubaan membuka gari gagal, anggota itu meminta bantuan bomba untuk membuka gari berkenaan.

“Sebaik gari itu dibuka, tugas mengawal OYDS berjalan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.04 petang.

“Enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dikejarkan ke lokasi.

“Kami dapati ada gari pada tangan lelaki itu yang gagal dibuka pihak polis.

“Gari itu berjaya dibuka beberapa minit kemudian selepas dipotong menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:34 PM