Ahmad Karim (duduk kiri) ditemui keletihan selepas hilang 16 jam ketika mencari siput sedut semalam. FOTO Adnan Ibrahim
Izlaily Nurul Ain Hussein dan Adnan Ibrahim


WARGA emas yang juga Tok Batin Kampung Orang Asli, Taman Sri Banang, Batu Pahat ditemui selepas 16 jam dipercayai sesat di kawasan hutan paya bakau di Sungai Ayam di sini.

Ahmad Karim, 72, dikatakan keluar mencari siput bersama dua lagi rakannya di Kampung Patah Pedang, Sungai Ayam sebelum dilaporkan hilang.

Dia yang masuk ke kawasan paya itu dilaporkan hilang 5 petang semalam selepas berpecah dengan dua rakannya ketika berjalan keluar dari kawasan paya itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Mohd Fauzi Md Nor berkata, lapan pegawai dan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.31 malam.

“Satu gerakan mencari dilancarkan dan dibahagikan kepada tiga kumpulan membabitkan pegawai dan anggota polis dibantu masyarakat setempat.

“Usaha awal pasukan mencari dan menyelamat gagal menemui mangsa.

“Pada 9.06 pagi tadi mangsa ditemui orang awam dalam keadaan lemah, kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan orang hilang dan memaklumkan bahawa mangsa sudah ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:41 PM