SENJATA tiruan dirampas daripada pengawal keselamatan di Desa Aman Puri, Kepong. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN seorang pengawal keselamatan memiliki senjata tiruan disimpan di tempat kerjanya di Desa Aman Puri, Kepong, Gombak, mengundang padah apabila ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang menerima maklumat menyerbu pejabat berkenaan dan menahan lelaki berusia 40 tahun, jam 10 malam.

Menurutnya, pemeriksaan dalam premis menemui sepucuk senjata berwarna hitam tanpa jenama dan tiada nombor siri bersama satu kelopak mengandungi 122 bebola putih.

“Senjata tiruan ini disimpan di bahagian belakang pintu pejabat sebelum dirampas dan suspek dibawa ke IPD Gombak untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek mengaku senjata dirampas adalah miliknya yang dibeli 11 tahun lalu dengan harga RM1,800 di Bukit Kayu Hitam, Kedah,” katanya.

Samsor berkata, urusan jual beli senjata dilakukan melalui laman sosial dan seterusnya berurusan dengan lelaki warga Thailand ketika jual beli.

“Dia memberi alasan sebagai hobi dan bersukan ketika berada di Muar, Johor dan menyimpan dalam pejabat untuk tujuan keselamatan.

“Suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 6:20 PM