ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran kawasan hutan di Kampung Tanjung Adang dan Kampung Pekajang, Gelang Patah, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Mohd Sabran Md Sani


KERAJAAN negeri Johor tidak menolak menggunakan sebahagian daripada RM30 juta dana bencana bagi membiayai kos pembenihan awan berikutan kebakaran hutan di Kampung Pekajang di Gelang Patah, Iskandar Puteri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan itu mungkin terpaksa dilakukan sekiranya kebakaran 16 hektar kawasan hutan di kampung itu masih gagal dipadamkan.

Beliau berkata, proses pembenihan awam antara alternatif ketiga dilakukan sekiranya pendekatan menggunakan air laut gagal menyelesaikan isu kebakaran terbabit.

“Kebarangkalian pembenihan awan menjadi agak kurang dengan mengambil kira keadaan awan agak tipis dan kurang kelembapan itu mungkin ada.

“Bagaimanapun kita tidak menolak untuk cuba usaha itu, walaupun kosnya tinggi RM35,000 sehari antara dua hingga tiga jam pembenihan,” katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Uda Utama di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, pada kebiasaannya proses pembenihan awan akan dilakukan paling minimum antara lima hingga 10 hari.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, esok untuk menggunakan dana bencana yang diperuntukkan bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

“Sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi insiden pencemaran udara dan Sungai Kim Kim dan masih ada baki lagi.

“Kami akan gunakan dana ini bagi melakukan kerja pembenihan awam di Kampung Pekajang, Gelang Patah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Meteorologi berhubung perkara itu.

Menurutnya, kebakaran itu berlaku Rabu lalu dan kini memasuki hari kelima membabitkan keluasan 16 hektar.

“Seramai 70 anggota bomba dari 10 balai bomba dan penyelamat (BBP) membantu memadamkan kebakaran dengan dibantu 15 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

“Lima jentera digunakan bagi membina parit di sekeliling 16 hektar kawasan terjejas dan keadaan pembakaran terkawal,” katanya.

Beliau berkata, apa yang menjadi isu adalah bagaimana api berkenaan dapat dipadamkan segera dan lawatan menerusi udara mendapati sumber air terhad menyukarkan operasi pemadaman.

“Tidak ada air semulajadi, malah air parit dan tasik kering akibat musim kering yang melanda negeri ini ketika ini.

“Justeru sebagai alternatif bekalan air dari Ranhill SAJ terpaksa digunakan terutama dua saluran di kawasan itu dapat membantu proses pemadaman kebakaran.

“Pada masa sama, usaha dilaksanakan anggota bomba untuk menggunakan hos air sepanjang 60 meter bagi menyedut air laut ke kawasan kebakaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 7:39 PM