GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Sabran Md Sani


SEMUA Ketua Jabatan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) perlu lebih kehadapan, fokus, kreatif dan berfikiran cepat dalam melaksanakan pelbagai perancangan dilaksanakan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertuanya, Mohammed Shakib Ali berkata, harapan tinggi itu supaya setiap usaha dilaksanakan tidak hanya sekadar melepas batuk ditangga sahaja.

“Tindakan sesi ‘bedah siasat’ dan pemantapan senarai penambahbaikan perlu dibuat dengan segera dan hendaklah sentiasa berusaha memantapkan tadbir urus.

“Malah sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada ‘stakeholders dalam pentadbiran Kulai perlu dilaksanakan,” katanya pada Mesyuarat Penuh MPKu di Kulai, hari ini.

Katanya, teguran itu turut mengambil kira Lawatan Penilaian bagi Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) Bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2018.

“Lawatan Penilaian dilaksanakan Bahagian Dasar dan Inspektorat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 30 Oktober tahun lalu.

“Melalui penilaian yang dinilai bagi tempoh dua tahun (2017 dan 2018), pihak MPKu memperoleh empat bintang atau 89.95 peratus.

“Ia menunjukkan penurunan berbanding pada tahun 2016 iaitu lima bintang atau 94.73 peratus,” katanya.

Katanya, susulan penurunan itu, beliau menerima teguran daripada Setiausaha Kerajaan Johor.

“Saya sangat memandang serius perkara ini kerana sebagaimana Sistem Star Rating, ia adalah sangat penting kepada sesebuah PBT.

“Ini kerana melalui sistem ini, PBT akan diletakkan pada suatu tahap kedudukan bintang berdasarkan markah yang diperoleh,” katanya.

Katanya, sebagai Yang Dipertua, beliau mengharapkan sesuatu yang terbaik daripada ketua jabatan MPKu.

“Tanggungjawab PBT kini semakin mencabar kerana stakeholders sentiasa mengharapkan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti.

“Melalui SSR-PBT ini, ia akan dapat mengurangkan tohmahan masyarakat terhadap PBT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 9:56 AM