Hazira Ahmad Zaidi


INSIDEN ditembak komunis sehingga menembusi perut masih segar dalam ingatan pesara tentera, Pegawai Waran 2 (B) A Rahman Wahid, 62, ketika bersama rakan seperjuangannya mempertahankan negara empat dekad lalu.

Menurut A Rahman, ketika menyertai Operasi Khas di Durian Tipus, Negeri Sembilan pada 16 September 1982, dia bersama platunnya seramai 15 anggota memasuki hutan simpan untuk meninjau kehadiran komunis di kawasan sekitar pada jam 1 pagi hasil risikan pihaknya dan Orang Asli.

Katanya, selepas membuat tinjauan kira-kira hampir dua jam, platunnya membuat keputusan berpecah.

“Daripada 15 anggota dalam platun yang menyertai operasi ini, hanya saya dan empat lagi anggota diarahkan terus mara ke hadapan bagi membuat tinjauan di atas bukit.

“Bagi mengelakkan kedatangan kami dihidu komunis, saya dengan rela hati menawarkan diri memantau keadaan di puncak bukit secara bersendirian.

“Selepas beberapa meter bergerak ke hadapan, saya mula mengesan kesan tapak kasut berkemungkinan milik komunis dan ketika hendak tunduk bagi memastikan ia adalah betul, saya secara tiba-tiba ditembak komunis pada jarak 20 meter,” katanya ketika ditemui di Ketereh, Kota Bharu, baru-baru ini.

Bapa kepada tujuh anak ini berkata, ketika terkena tembakan, dia tidak menyedarinya sehingga melihat darah memancut keluar di bahagian kiri perut dan mula terasa sakit serta pedih.

“Bagi memastikan darah berhenti mengalir, saya menampal pembalut luka dibawa sementara menunggu bantuan tiba lima jam kemudian.

“Disebabkan kecederaan dialami, saya menerima rawatan di Hospital Besar Seremban selama dua bulan dan sejak itu tidak dibenarkan mengikuti operasi dan hanya bertugas dalam kem sahaja selama sembilan tahun,” katanya.

Katanya, setiap kali mengikuti operasi, dia tidak lupa membawa surah Yasin bersama sebagai pelindung diri daripada sebarang ancaman bahaya.

“Jika diikutkan logik, kemungkinan tembakan ketika itu terkena pada dada, namun tersasar mungkin disebabkan amalan saya yang sentiasa membawa Yasin setiap kali menyertai operasi.

“Parut di bahagian kiri perut masih jelas kelihatan sehingga hari ini dan ia adalah lambang perjuangan saya untuk negara serta berharap generasi kini tidak menggadai maruah dan nikmat kemerdekaan negara yang sudah dikecapi.

“Insiden ini menjadi memori tidak dapat saya dilupakan dan ia lebih menyemarakkan lagi perasaan cinta terhadap negara. Saya bangga memberi khidmat kepada negara dicintai demi keamanan dan keharmonian bersama,” katanya.

A Rahman berkata, selepas 21 tahun berkhidmat dalam tentera, dia bersara pada Oktober 1998 dan mengakhiri khidmat di Unit 105 Infantri di Kem Tentera Pengkalan Chepa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 10:28 AM
A Rahman (kiri) menunjukkan kesan parut di perut akibat ditembak komunis. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR