Mesyuarat Penuh MPKu di Kulai. FOTO ihsan MPKu
Mohd Sabran Md Sani


MAJLIS Perbandaran Kulai (MPKu) menerima kelulusan berjumlah RM22 juta bagi peruntukan Fasa Dua Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Yang Dipertuanya, Mohammed Shakib Ali berkata, jumlah peruntukan membabitkan kerja mencakupi tender, sebut harga dan undi.

“Bilangan kerja untuk Fasa 2 iaitu sebanyak 92 kerja, akan dilaksanakan meliputi kerja-kerja penyelenggaraan yang dibenarkan mengikut Garis Panduan MARRIS,” katanya pada Mesyuarat Penuh MPKu di Kulai, hari ini.

Daripada jumlah itu, tujuh kerja berjumlah RM8.8 juta membabit tender, 41 kerja bernilai RM11 juta membabitkan sebut harga dan 44 kerja bernilai RM2.2 juta membabitkan undi.

Beliau berkata, proses undian sudah berlangsung pada 5 Ogos 2019 yang lalu.

“Kini iklan sebut harga sedang dalamproses dan tender yang dijangka akan dibuat pada awal bulan September ini,” katanya.

Sementara itu, MPKu memperoleh kutipan hasil RM77.7 juta atau 68.50 peratus anggaran kutipan hasil sehingga 21 Ogos lalu.

Katanya, jumlah hasil itu merangkumi Hasil Cukai sebanyak RM55.87 juta, Hasil Bukan Cukai RM7.4 juta dan Terimaan Bukan Hasil RM9.4 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 11:08 AM