ANTARA individu ditahan dalam operasi judi online IPD Kajang di sebuah banglo di Batu 9 Cheras.
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 35 warga China termasuk enam wanita ditahan dalam serbuan Operasi Judi Online (Op JOL) di sebuah banglo dua tingkat di Batu 9 Cheras, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, sepasukan pegawai dan anggota cawangan Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang Deputi Superintendan Rodney Pasla Haris melakukan serbuan di lokasi itu jam 9.30 malam.

“Ketika serbuan dilakukan, semua suspek sedang leka menjalankan urus niaga judi dalam talian menggunakan telefon bimbit dan komputer riba.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan di banglo berkenaan berjaya menahan 29 lelaki dan enam wanita warga China berusia 19 hingga 60 tahun bekerja sebagai pengendali urus niaga judi dalam talian di pusat judi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, hasil pemeriksaan terhadap komputer riba dan telefon bimbit suspek dirampas menemui pelbagai aplikasi dan laman sesawang judi dalam talian yang dianjurkan sindiket berkenaan.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai aktif melakukan kegiatan penganjuran judi dalam talian itu sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan kediaman mewah berkenaan sebagai pusat operasi.

“Pemeriksaan mendapati, semua suspek mempunyai dokumen perjalanan diri sah atas pas lawatan sosial,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 25 komputer riba, 12 telefon bimbit dan dua modem pelayaran internet dalam serbuan itu.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 4 (1)(C),(D) dan (E) Akta Pertaruhan 1953.

“Kami menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian dalam talian supaya tampil menyalurkan informasi kepada pihak polis di mana-mana balai berhampiran.

“Kerjasama orang ramai amat membantu polis dalam membasmi kegiatan ini secara total untuk membanteras aktiviti judi dalam talian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 11:30 AM