PENUNGGANG motosikal sanggup menggadai nyawa dengan menunggang secara melawan arus di Jalan Pasir Hor. FOTO SYAMSI SUHAIMI
Hazira Ahmad Zaidi


SEKUMPULAN penunggang motosikal di Jalan Pasir Hor, Kota Bharu, sanggup menggadaikan nyawa menunggang secara melulu dan melawan arus sehingga membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati, mereka sengaja menunggang motosikal melawan arus tanpa memikirkan keselamatan diri kerana tidak mahu membuat pusingan U berikutan agak jauh.

Malah, perbuatan itu boleh dilihat secara jelas setiap kali ibu bapa menghantar atau mengambil anak sekolah, sekali gus membimbangkan pengguna jalan raya lain.

Seorang pengawal keselamatan sekolah berhampiran, Mohd Afendi Mat Jusoh, 35, berkata situasi itu berlaku sejak tiga tahun lalu dan paling ketara sejak penghadang besi dipasang setahun lalu.

“Sepanjang saya bekerja di sekolah ini, tiada lagi kemalangan di hadapan mata, tetapi tidak tahulah sekiranya ada insiden di luar waktu saya bekerja.

“Apa yang paling dirisaukan apabila waktu persekolahan terutama ketika ibu bapa menghantar dan mengambil anak mereka di sekolah kerana jalan raya ketika itu agak sibuk,” katanya ketika ditemui, semalam.

Jurujual, Nor Salwani Mohd Nordin, 28, berkata sekiranya menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya seperti itu, tidak mustahil mengundang kemalangan.

“Saya lihat sekarang sudah banyak kemalangan berlaku disebabkan pemanduan melawan arus membabitkan pemandu kereta atau penunggang motosikal hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan nyawa pengguna jalan raya lain.

“Saya berharap, pengguna jalan raya tidak mengambil mudah hal ini. Jangan menyesal selepas kejadian berlaku,” katanya.

Sementara itu, pengguna jalan raya, Mohd Huzaifi Zaidi, 21, berkata masalah berlaku secara tidak langsung mengundang bahaya kepada penduduk sekitar terutama pada waktu malam.

“Kebanyakan mereka menunggang motosikal melawan arus tidak memakai topi keledar dengan alasan rumah mereka tidak jauh dari destinasi yang hendak dituju.

“Seingat saya, pernah berlaku kemalangan maut antara kereta dan motosikal di sini tahun ini dan ada yang mendakwa ia disebabkan penunggang motosikal melawan arus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 11:46 AM