FOTO hiasan
Hadzlihady Hassan


WANITA yang juga pesara sebuah universiti berputih mata apabila wang pencennya lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menggunakan taktik lapuk kononnya terjebak kes jenayah dan akan ditahan polis.

Mangsa berusia 59 tahun pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki ketika berada di rumahnya di Persiaran Mayang Pasir, Bayan Baru, Balik Pulau, jam 12 tengah hari, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, lelaki terbabit memperkenalkan diri sebagai pegawai Telekom Malaysia (TM).

“Lelaki ini kemudian memberitahu mangsa yang namanya digunakan untuk memohon akaun internet bagi kegunaan pengubahan wang haram.

“Suspek menyambungkan talian itu kononnya kepada seorang anggota polis yang kemudian memaklumkan mangsa turut terbabit dalam kes jenayah berat dan waran tangkap sudah dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, suspek turut memberi amaran kepada mangsa supaya tidak menceritakan kepada sesiapa sekiranya tidak mahu ditahan selain diminta menunggu arahan selanjutnya.

“Mangsa kemudian menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mengaku sebagai Inspektor Zahari dari Pahang dan memintanya memasukkan wang RM30,000.

“Kerana bimbang ditahan, mangsa melakukan transaksi seperti diminta pada jam 1.30 tengah hari, Rabu minggu lalu di sebuah bank di Jalan Tengah,” katanya.

Anbalagan berkata, mangsa kemudian turut melakukan beberapa transaksi wang keesokannya kepada sindiket terbabit hingga mencecah RM105,000.

“Dia hanya menyedari ditipu selepas menceritakan kejadian itu kepada rakan, semalam, dan bergegas membuat laporan polis.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 12:00 PM