BOMBA memeriksa bilik koperasi SMK Bandar Baru Uda selepas berlaku kebakaran. (Gambar kecil) Seorang pelajar perempuan mengalami sesak nafas akibat berjemur. FOTO IHSAN JBPM
Mary Victoria Dass


LIMA pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, Johor Bahru, sesak nafas akibat berjemur di tempat berkumpul kecemasan jam 9.20 pagi ini.

Penolong Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahri, Lasidin Nariano berkata kejadian berlaku selepas pelajar berkenaan dikumpulkan sementara sebaik berlaku kejadian kebakaran koperasi di sekolah itu.

Katanya, lima jentera dari BBP Johor Bahru dan Tebrau serta sebuah ERMS segera dikerah ke lokasi kejadian.

“Seramai 27 anggota bomba menjalankan operasi mengawal dan memadam kebakaran diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Ronney Robert.

“Setiba di lokasi kejadian, bomba mendapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah bilik koperasi sekolah yang terbakar 60 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemadaman menggunakan dua aliran iaitu dua pancutan dan air tangki pam jentera.

“Dalam kejadian ini, lima pelajar mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Mangsa sesak nafas akibat berjemur di lokasi berkumpul yang panas dan bukan disebabkan asap,” katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian tiada sesiapa dalam koperasi berkenaan.

“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

“Operasi pemadaman kebakaran tamat jam 11.28 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 2:22 PM