Siti Nor Hidayatidayu Razali


SERAMAI 10 lelaki ditahan manakala pelbagai jenis dadah bernilai RM87,800 dirampas serta harta berjumlah RM91,040 disita dalam tiga serbuan berasingan pada Khamis, Jumaat dan kelmarin.

Mereka yang berusia antara 26 hingga 61 tahun ditahan dalam serbuan di Gua Musang dan Tanah Merah.

Dalam serbuan itu, polis merampas 5,942 biji pil yaba, 173.2 gram syabu dan 80 biji pil ekstasi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, dalam serbuan pertama oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang 10 malam Khamis lalu di sebuah rumah di Pekan Lama, Gua Musang, polis menahan lima lelaki berusia antara 37 hingga 61 tahun.

Katanya, serbuan di sebuah rumah, polis menemui bungkusan paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal serta pil disyaki dadah.

“Pemeriksaan di sebuah bilik belakang menjumpai satu bungkusan plastik putih mengandungi tiga balutan berisi serbuk dan ketulan disyaki syabu 140.2 gram serta satu balutan berisi 22 biji pil yaba dan turut merampas 80 biji pil ekstasi dengan jumlah keseluruhan RM23,650.

“Polis turut menemui sepucuk pistol Revolver automatik hitam jenama CZ 2075 Rami beserta kelopak dan kotak berisi 100 butir peluru hidup serta alat menghisap dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Beliau berkata, mereka didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan direman tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Abdullah berkata, rampasan kedua oleh JSJN IPD Tanah Merah di tepi jalan Kampung Alor Stol, Tanah Merah 11.30 malam Jumaat lalu, menahan kereta Proton Wira yang dalam keadaan mencurigakan dan mendapati dua lelaki dalam kenderaan itu.

Menurutnya, ketika memperkenalkan diri sebagai polis, pemandu kereta itu terus memecut kenderaan sebelum polis mengejarnya.

“Kereta itu terbabas sebelum dua lelaki keluar dan cuba melarikan diri namun dapat ditangkap.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta menemui 33 gram syabu dan 4,120 biji pil yaba bernilai RM46,150,” katanya.

Katanya, dua lelaki itu direman dari Sabtu lalu hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Abdullah berkata, serbuan ketiga di Jalan Alor Pasir, Tanah Merah, 12.10 tengah malam kelmarin, polis menahan sebuah kereta dinaiki tiga lelaki disyaki pengedar dadah dan menemui 1,800 pil yaba.

“Siasatan mendapati bekalan dadah diambil daripada seorang lelaki warga Thailand di kawasan Pengkalan Gaji, Rantau Panjang.

“Dua lelaki itu direman dari Sabtu lalu hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 2:31 PM
Abdullah menunjukkan pistol dan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Gua Musang. FOTO Fathil Asri