Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BUKAN saja berdepan bunga tinggi malah ahli perniagaan diugut akan dilacurkan jika gagal menyelesaikan hutang RM2,500.

Wanita berusia 28 tahun itu kini hidup dalam ketakutan kerana terpaksa membayar bunga RM1,000 setiap jam bagi menyelesaikan hutang yang dibuat dengan along tidak berlesen.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, dia mencari kumpulan peminjam itu di Facebook 29 Julai lalu sebelum berurusan dengan seorang lelaki.

“Namun ketika berurusan saya menolak pinjaman yang ingin dilakukan kerana bunga pinjaman terlalu tinggi dikenakan.

“Bagaimanapun saya diberitahu oleh lelaki dikenali sebagai Lim pinjaman saya diluluskan dan sudah dimasukkan ke dalam akaun,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA Kuala Lumpur hari ini.

Wong berkata, walaupun ditolak namun dia seakan-akan terjerat dengan janji yang diberi along berkenaan menyebabkannya bersetuju.

“Saya kemudian perlu membayar RM1,700 setiap bulan untuk menyelesaikan hutang berkenaan.

“Saya sudah membayar sejumlah wang kepada lelaki berkenaan namun diugut jika gagal melangsaikan hutang mereka akan melacurkan saya,” katanya.

Katanya, takut dengan ugutan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, laporan membabitkan hutang along merekodkan jumlah kes tinggi.

“Dalam tempoh setengah bulan lalu, saya sudah menerima 21 kes pinjaman along membabitkan pinjaman kira-kira RM2 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 3:44 PM