Anggota polis mengiringi A Rahman selepas Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak rayuannya terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan kepada kerana melakukan khianat. Foto Norizuan Shamsuddin
Anggota polis mengiringi A Rahman selepas Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak rayuannya terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan kepada kerana melakukan khianat. Foto Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


PEMANDU lori yang sebelum ini didapati bersalah terhadap dakwaan melakukan khianat dengan merobohkan dinding kedai bekas isteri terpaksa akur apabila rayuannya ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.

Berikutan itu, A Rahman Ibrahim, 64, kekal dengan hukuman dua tahun penjara yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Pada 15 November lalu, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh dari Kampung Beladau Selat didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Mengikut pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merobohkan dinding hadapan kedai hingga menyebabkan pemiliknya, Cik Hasyati Mansor, 46, menanggung kerugian kira-kira RM500.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di Kuala Ibai pada 8.30 malam, 4 September 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed, manakala tertuduh diwakili peguam Nik Mohd Radhia Nik Abdul Ghani.

Abdul Wahab turut mengarahkan hukuman penjara bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 4:49 PM