Operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup di Pontian akan dihentikan buat sementara waktu bermula 1 September ini. Foto Arkib NSTP
Operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup di Pontian akan dihentikan buat sementara waktu bermula 1 September ini. Foto Arkib NSTP
Izlaily Nurul Ain Hussein


OPERASI Terminal Feri Antarabangsa Kukup di Pontian akan dihentikan buat sementara waktu bermula 1 September ini berikutan kerajaan negeri membuat keputusan mengambil alih pengendaliannya.

Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan operasi terminal itu selepas ini bagi menggantikan syarikat konsesi terdahulu yang sudah ditamatkan operasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Mohd Solihan Badri berkata, operasi feri di terminal berkenaan akan berakhir pada Sabtu ini dan dipindahkan ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, Iskandar Puteri bermula 1 September.

“Kerajaan negeri sudah mengambil keputusan untuk menghentikan syarikat konsesi yang mengendalikan Terminal Feri Antarabangsa Kukup itu kerana sebab tertentu.

“Kami sudah memberi nasihat dan amaran untuk memperbaiki keadaan tetapi ia tidak dipenuhi.

“Jadi, kita akan menghentikan operasi di situ (Kukup) dan alihkan perjalanan feri di Puteri Harbour,” katanya ketika ditemui di majlis Pecah Tanah Pembinaan Persimpangan Bertingkat Kempas di tapak projek dekat Setia Tropika di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata, operasi di terminal itu nanti akan diserahkan kepada PAJ dan ia bergantung kepada perancangan agensi berkenaan sebelum keputusan membuka semula operasi terminal berkenaan.

“PAJ akan uruskan seterusnya sehingga ada keputusan pada hari kemudian kelak.

“Bila PAJ ambil alih, ia bergantung pada PAJ bagaimana melengkapkan semula terminal itu sebelum beroperasi semula,” katanya.

Menurut beliau, berhubung syarikat konsesi itu, mereka akur dan sudah mula memindahkan peralatan dan menghentikan operasi.

“Syarikat konsesi akur dan mulai pindah peralatan dan henti operasi. Jabatan Laut sudah memberi notis kepada semua pelanggan untuk mereka meneruskan perjalanan feri sehingga 31 Ogos saja kerana kita tidak mahu henti secara mengejut,” katanya.

Menurutnya, keputusan kerajaan negeri itu diputuskan minggu lalu dalam mesyuarat membabitkan Unit Perancang Ekonomi Negeri dan jawatankuasa yang ditubuhkan sebulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 6:16 PM