ANGGOTA polis menyoal siasat lelaki yang pernah ditahan kerana tertelan gigi (dua dari kanan) dalam operasi di port Pak Alang Ajis, Pendang, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI warga emas yang pernah tertelan gigi ketika terjatuh dalam serbuan ‘port’ penagihan dadah di Port Mandu, Kilang Kechil, Pendang, tahun lalu ditahan semula dalam satu serbuan di lokasi lain, hari ini.

Operasi berkenaan dilakukan pihak berkuasa mulai 7 pagi hingga 1 tengah hari dan lelaki berusia 65 tahun itu dicekup pada 11.30 pagi di kawasan kelapa sawit dikenali ‘port’ Pak Lang Ajis di belakang Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Air Putih.

Dia mendakwa datang ke situ untuk membeli dadah daripada ‘tokan’ yang menghantar barang ke kawasan itu selain melepaskan gian menagih dadah.

Warga emas mempunyai tujuh cucu itu berkata dia datang ke situ tanpa pengetahuan isterinya yang menyangka dia keluar bekerja menebas rumput.

Katanya, setiap hari dia membelanjakan RM20 untuk membeli dadah jenis morfin untuk melepaskan gian.

Dalam pada itu, seorang penuntut kolej swasta berusia 24 tahun ditahan kerana terbabit dengan penagihan dadah.

Dia dikatakan singgah di kawasan ‘port’ itu untuk melepaskan gian sebelum pergi ke Jitra untuk menghadiri kelas petang.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dalam operasi itu seramai 15 orang penagih berusia 24 hingga 65 tahun ditahan dan daripada jumlah itu seramai 12 orang diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pendang untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, tiga daripada mereka diserahkan kepada polis dan dua daripadanya memiliki dadah jenis heroin seberat 0.30 gram.

“Operasi ini disertai lapan anggota polis dari Balai Polis Kubur Panjang, Jenun, Sungai Tiang, Pendang dan sembilan anggota AADK Pendang.

“Dua kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, satu kes Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 manakala 12 lagi disiasat mengikut Seksyen 3(1) APD 1983,” katanya.

Tahun lalu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki tertelan giginya ketika cuba melarikan diri dalam operasi dadah kerana takut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 8:56 PM