NUR Ainul Mardiah membaca al-Quran Braille pada Majlis Penyerahan al-Quran Braille di Masjid Negeri Pulau Pinang di Jalan Air Itam, Georgetown, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
NUR Ainul Mardiah membaca al-Quran Braille pada Majlis Penyerahan al-Quran Braille di Masjid Negeri Pulau Pinang di Jalan Air Itam, Georgetown, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Zuhainy Zulkiffli


WALAUPUN sukar melihat kerana menghidap glaukoma, ia bukan penghalang buat seorang kanak-kanak perempuan untuk membaca al-Quran Braille.

Malah, alunan suara murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Alma, Bukit Mertajam, Nur Ainul Mardiah Md Safrizan, 10, itu memukau hadirin menerusi bacaan surah al-Balad dalam satu majlis di Georgetown, hari ini.

Ibunya, Siti Aminah Abdullah, 40, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu mula didedahkan dengan bacaan al-Quran sejak kecil dan menunjukkan minat menghafaz ketika berusia enam tahun.

Katanya, minat mendalam menyebabkan Nur Ainul Mardiah mudah belajar walaupun mengalami masalah penglihatan sejak lahir.

“Memandangkan dia sukar melihat, saya belikan radio yang mempunyai rakaman alunan ayat al-Quran dan daripada situ dia menghafaz selain dapat membetulkan bacaan.

“Kami sekeluarga memang gemar membaca al-Quran jika ada kelapangan, begitu dua abangnya berusia 19 dan 16 tahun yang kini belajar di sebuah madrasah di Air Itam,” kata suri rumah itu, hari ini.

Anak kepada penjual ayam itu ditemui di Majlis Penyerahan al-Quran Braille di Dewan Syarahan Masjid Negeri, Jalan Air Itam, Georgetown.

Pada majlis itu, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyerahkan 40 naskhah al-Quran Braille membabitkan 30 kepada SPK Alma bagi kegunaan murid cacat penglihatan dan 10 lagi individu Orang Kurang Upaya (OKU) yang memerlukan.

Sumbangan disampaikan Yang Dipertua MAINPP merangkap Pengerusi ZPP, Datuk Abdul Malik Abul Kassim kepada Penolong Kanan Pentadbiran SKPK Alma, Mohd Shahridan Mohd Ali.

Hadir sama, Presiden Persatuan Tongkat Putih Pulau Pinang, Swarn Singh.

Sementara itu, Mohd Shahridan berkata, sumbangan berkenaan memberi manfaat kepada 17 murid Islam berusia enam hingga 12 tahun yang cacat penglihatan di sekolah terbabit.

“Sumbangan ini diterima dengan penuh syukur berikutan keupayaan mereka belajar membaca al-Quran serta memudahkan guru mengajar dalam kelas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 9:23 PM