PRODUK hasil pertanian dan makanan cuba diseludup dirampas di ICQS. FOTO IHSAN MAQIS
Noorazura Abdul Rahman


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah merampas 1,270 kilogram (kg) hasil pertanian dan makanan bernilai RM3,500 dalam operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Durian Burung, Padang Terap.

Pengarahnya, Lily Rosalind berkata, sebuah lori membawa barangan berkenaan ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari, Jumaat lalu, selepas gagal menunjukkan dokumen sah daripada MAQIS.

“Berdasarkan hasil pemeriksaan mendapati terdapat 200 kg bebola ayam, 150 kg sosej dan daging babi, 100 kg ikan basah, 100 kg ayam serta itik sejuk beku.

“Lori itu turut mengangkut 100 kg serai, 120 kg lengkuas, 70 kg cili padi dan 70 kg daun limau purut tanpa dokumen sah seperti permit import (IP) dikeluarkan jabatan kami.

“Selain itu, pengimport gagal mengemukakan dokumen seperti sijil fitosanitasi dari negara asal dan sijil kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosalind berkata, rampasan hasil keluaran pertanian itu bertujuan mengawal kemasukan penyakit dan perosak dari negara luar kerana boleh melumpuhkan industri negara.

Katanya, rampasan produk berasaskan babi pula bertujuan mengawal kemasukan produk babi dari negara yang berpenyakit dan penyebaran wabak African Swine Fever (ASF).

“Semua rampasan akan ditahan dan dimusnahkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 10:57 AM