ROSLI (kanan) ketika menghadiri perbicaraan kes SRC International di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini diberitahu bahawa kertas siasatan SRC International Sdn Bhd (SRC) diserahkan terus kepada Peguam Negara ketika itu Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana ia adalah ‘kes istimewa’.

Penyerahan terus itu tanpa melalui Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu didedahkan Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Rosli Husain, 54, ketika disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada hari ke-58 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Saksi pendakwaan ke-57 itu berkata, tidak ada mana-mana TPR SPRM menghalusi kertas siasatan kes itu sehinggalah ia diserahkan kepada Mohamed Apandi pada 2015 dan 2016.

Ketika Muhammad Shafee bertanya kepastiannya berhubung perkara itu, Rosli berkata, beliau menyerah kertas siasatan itu terus kepada Mohamed Apandi memandangkan ia adalah ‘kes istimewa’.

Muhammad Shafee: Saya katakan ini adalah tidak betul kerana saya pernah interview (temu bual) beberapa TPR dari SPRM.

Rosli: Selepas kertas siasatan itu diminit oleh Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohd Zin, saya menyerahkan kepada Peguam Negara pada 31 Dis 2015 dan ia dikembalikan semula kepada SPRM pada 18 Jan 2016. Kami menjawab pada 22 Jan 2016, dan saya hantar terus ke Jabatan Peguam Negara. Saya tidak melalui mana-mana TPR.

Kepada soalan Muhammad Shafee adakah TPR mendiang Datuk Anthony Kevin Morais yang mati dibunuh pada 2015 terbabit dalam siasatan kes SRC, Rosli menjawab “tidak.”

Ditanya Muhammad Shafee sama ada Kevin Morais terbabit dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), saksi menjawab “Tidak tahu.”

Bagaimanapun, soalan peguam itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram atas alasan ia tiada sebarang kaitan dengan kes SRC.

Muhammad Shafee berkata soalan itu adalah wajar bagi membersihkan nama anak guamnya kerana terdapat pihak yang membuat fitnah bahawa Najib terbabit pembunuhan itu dengan mendakwa Kevin Morais sebahagian pasukan menyiasat kes SRC.

Rosli juga bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa menerusi kertas siasatan pada 2015, terdapat beberapa nama dicadangkan untuk didakwa atas kesalahan pecah amanah dana SRC.

Mereka termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas Pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin.

Rosli berkata, terdapat juga cadangan pendakwaan terhadap Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan Pengarah Kewangan IPSB, Abdul Aziz Ismail.

Katanya, cadangan itu adalah pertuduhan di bawah Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

“Cadangan ini adalah untuk (dakwaan) kesalahan yang berkaitan dengan pemindahan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta. Dakwaan ini adalah jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015,” katanya.

Muhammad Shafee: Saya mencadangkan, dalam keterangan kamu, tidak ada kejujuran di beberapa bahagian?

Rosli: Tidak sama sekali Yang Arif.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Kes di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 22 Okt untuk pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan lisan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 2:21 PM