KEADAAN di lokasi selepas kemalangan berkenaan. FOTO Iqmal Haqim Rosman


“KETIKA kejadian, kedua-dua mangsa tersandar pada pembahagi jalan di lorong kecemasan dan saya cuba bertanya keadaan mereka sebelum saya terdengar dentuman kuat lalu menyelamatkan diri,” kata Abdul Hafis Suhaimi, 26.

Abdul Hafis salah seorang individu membantu Anismalina Jamaludin, 20, dan Muhammad Idham Baharudin, 20, yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di di Kilometer 269.9 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Seremban, malam semalam.

Dalam kejadian itu, Abdul Hafis turut mengalami kecederaan pada kaki dan kini dirawat Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), Seremban.

Menceritakan kejadian, Abdul Hafis berkata, dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bangi dari Seremban sebelum terserempak dengan dua mangsa berkenaan yang sedang dibantu seorang pemandu lori di lorong kecemasan.

“Ketika itu hanya mereka bertiga di lokasi dan saya berhenti untuk membantu kerana dipercayai mereka terjatuh dari motosikal. Ketika sedang bertanyakan keadaan mereka berdua saya terdengar bunyi dentuman kuat.

“Tanpa berfikir panjang saya terus melompat pembahagi jalan dan lari ke bahu jalan yang berbukit. Saya terasa ada tong gas yang terkena bahu, namun tidak menyedari bagaimana kaki terluka,” katanya ketika menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rahang, Mary Josephine Prittam Singh di HTJS, Seremban, hari ini.

Dia berkata, ketika kejadian dua mangsa berkenaan sedang menyandar pada pembahagi jalan dan dipercayai tidak sempat untuk menyelamatkan diri ketika rempuhan berkenaan.

Sementara itu, Mary Josephine berkata, dia meminta pakar bedah di HTJS supaya mempercepatkan pembedahan ke atas Abdul Hafis kerana khuatir luka besar pada kaki mangsa dijangkiti bakteria.

“Ini semangat orang Malaysia yang mahu membantu mangsa kemalangan, namun berakhir dengan dia juga menjadi mangsa. Bagaimanapun, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dan Abdul Hafis serta seorang lagi mangsa yang cedera,” katanya.

Kemalangan kira-kira 10 malam itu membabitkan empat kenderaan iaitu motosikal Yamaha Y15, motosikal Honda EX5, lori membawa muatan gas petroleum cecair (LPG) dan lori simen.

Ia turut menyebabkan pemandu lori V Ravendran, 26, meninggal dunia.

Selain Abdul Hafis, mangsa cedera adalah pemandu lori lain, Darul Aman Ahmad, 38.

Berita berkaitan:

  • 'Saya terima takdir ini'
  • Identiti mangsa kemalangan dikenal pasti
  • Trafik sesak 7km
  • Tiga maut dekat R&R Seremban
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 7:20 PM