FOTO Hiasan
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman oleh Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkannya sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan selepas mendapati mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu yang termaktub dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan permohonan ini kerana berdasarkan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan isu tersebut sepatutnya dibuat di Mahkamah Syariah.

“Fatwa itu digubal mengikut peruntukan yang diberikan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan sebegini. Mahkamah bagaimanapun mendapati keputusan yang dibuat Majlis Fatwa pada 14 Julai 2014 tidak menyalahi undang-undang dan mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Berhubung isu fatwa itu didakwa bertentangan dengan undang-undang persekutuan, mahkamah mendapati ia tidak tidak menyalahi mana-mana undang-undang.

“Majlis Fatwa Selangor tidak mempunyai keperluan untuk mereka memaklumkan kepada SIS berhubung tindakan mereka.

“SIS tidak kebal dengan fatwa itu. SIS mendakwa fatwa itu hanya tertakluk kepada manusia tetapi organisasi itu diwakili orang Islam maka ia masih terguna pakai. Oleh itu, fatwa itu terguna pakai,” katanya.

Mahkamah dalam keputusannya menolak permohonan itu dengan kos sebanyak RM10,000.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini memerintahkan kes semakan kehakiman oleh SIS bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkannya sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, didengar di Mahkamah Tinggi.

Pada 24 Jun 2016, Mahkamah Tinggi menolak permohonan SIS Forum (Malaysia), pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor bahawa ia pertubuhan menyeleweng.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas mendapati mahkamah sivil tiada bidang kuasa membuat keputusan mengenai isu berkaitan fatwa.

Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum (Malaysia) memfailkan permohonan kebenaran itu bagi memohon perintah untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan organisasi itu dan mana-mana individu serta pertubuhan atau institusi yang berpegang pada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 7:32 PM