AB Rahim ketika dibawa menaiki ambulans udara untuk dipindahkan ke Istanbul. FOTO Ihsan Keluarga Ab Rahim.
AB Rahim ketika dibawa menaiki ambulans udara untuk dipindahkan ke Istanbul. FOTO Ihsan Keluarga Ab Rahim.
Faliq Lajim


WANG dikumpul untuk membawanya pulang sudah mencukupi, namun jangkitan kuman yang berlaku selepas penerbangan domestik di Turki, 22 Ogos lalu merencatkan semua perancangan.

Prof Dr Ab Rahim Ismail, 62, yang koma selepas serangan jantung pada 15 Julai lalu terpaksa menyambung rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Acibadem Bakirkoy (HAB), Istanbul.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), Kuala Lumpur itu dirawat di Pamukkale Hospital University di Denizli, Turki.

Menantunya, Muhamad Fikri Aziz, 33, berkata, sepatutnya bapa mentuanya itu dibawa pulang ke Kuala Lumpur pada 23 Ogos, malah doktor mengiringinya dari Malaysia juga sudah bersedia.

“Namun sijil perubatan mengesahkan dia bebas jangkitan kuman sudah tamat tempoh, apatah lagi baba (ayah) terkena pula jangkitan Acinetobacter yang menyebabkan dia tidak dibenar menaiki pesawat pulang (ke Kuala Lumpur).

“Sebelum itu, ketika menaiki ambulans udara dari Denizli ke Istanbul, semuanya baik dan baba ditemani Husaam (anak keenamnya). Ketika itu, dia disahkan ‘fit to fly’ sekiranya diiringi pasukan perubahan ICU.

“Doktor dari Malaysia pun sudah datang untuk memantau kesihatan baba di dalam pesawat, namun terpaksa tangguhkan kerana dia kini dirawat di ICU HAB,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, disebabkan jangkitan terbaharu itu, RM400,000 yang dikumpulkan sebelum ini hasil sumbangan ahli keluarga, saudara dan orang ramai, tidak lagi mencukupi.

Menurutnya, kos rawatan di HAB itu mencecah RM5,500 sehari dan mereka memerlukan RM50,000 lagi untuk menampung keperluan itu.

Katanya, mereka berharap bantuan dan doa daripada orang ramai untuk memudahkan urusan itu.

Mereka yang mahu menyumbang boleh salurkan ke Maybank 512268522574 atas nama Muhamad Fikri sebagai pemegang amanah.

Berita berkaitan:

  • Bekas pensyarah UKM koma di Turki
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 7:40 PM