DR Aminuddin bersama Wan Jamila bergambar di hadapan arca Putrajaya di Dataran Putra, semalam.
Noor Atiqah Sulaiman


PUTRAJAYA: Siapa sangka lukisan pada arca Putrajaya yang diletakkan di Dataran Putra selebar 1.5 meter dan tinggi 2.4 meter itu dilukis seorang remaja autisme berusia 17 tahun, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri.

Lebih membanggakan, pemilihan lukisan itu dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lukisan berkenaan dipilih untuk diletakkan pada arca sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya, Sabtu ini.

Jika dilihat secara dekat, lukisan yang memaparkan konsep struktur bangunan dan jambatan yang terkenal di Malaysia itu sebenarnya turut dihiasi dengan doodle wanita dari pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban serta Jalur Gemilang.

Ibu remaja berkenaan, Noorhashimah Mohamed Noordin, 58, berkata Perbadanan Putrajaya (PPj) ada berjumpa dengan dirinya dan berminat untuk meletakkan lukisan anaknya pada arca.

Katanya, sudah tentu berita berkenaan memberi kegembiraan kepada dirinya sebagai ibu, malah turut berbangga dengan bakat dimiliki Wan Jamila.

“Memang setiap kali tiba bulan kemerdekaan, saya akan meminta dia untuk melukis apa sahaja yang bertemakan kemerdekaan. Daripada pemilihan warna hinggalah corak, semuanya dibuat olehnya tanpa bantuan sesiapa.

“Untuk lukisan pada arca berkenaan, dia berjaya siapkan dalam tempoh sebulan setengah. Dia banyak habiskan masa dalam galeri miliknya dari pagi hingga malam untuk melukis,” katanya pada pertemuan dengan Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Bercerita lanjut mengenai anak keempatnya itu, Noorhashimah berkata, kemahiran melukis Wan Jamila dikesan sejak berusia empat tahun.

“Ketika kecil, dia suka meluahkan perasaannya melalui lukisan. Dia boleh melukis secara terperinci sesuatu kejadian itu walaupun hanya melihat sekali imbas,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, PPj pada 27 Julai lalu menyerahkan sembilan pilihan lukisan kepada Perdana Menteri untuk dipilih dan lukisan Wan Jamila mendapat reaksi yang positif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 5:40 AM