GAMBAR Arkib NSTP.
Samadi Ahmad


PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bekerjasama dengan beberapa agensi bagi memastikan peminjam membuat bayaran balik.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, PTPTN juga berbincang dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menentukan tindakan lebih menyeluruh dan adil kepada peminjam.

Katanya, peminjam perlu diklasifikasikan kepada kategori patuh bayar, culas dan culas tegar yang dibezakan tindakan ke atas mereka, termasuk yang baru menamatkan pengajian di universiti.

“Sasaran kita adalah kepada peminjam tidak bayar dan culas tegar yang sudah 20 tahun menamatkan pengajian.

“Pastinya mereka boleh membayar balik pinjaman,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN Seisi Kemasukan September 2019 Parlimen Simpang Renggam, Johor di Putrajaya, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 16 daripada 45 pelajar menerima RM1,500 seorang membabitkan nilai keseluruhan WPP RM67,500.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, seramai 20,716 penuntut peringkat ijazah di universiti awam bagi sesi pengambilan September 2019 ditawar WPP, membabitkan peruntukan RM31 juta.

Katanya, sejak 1999 sehingga Julai lalu, PTPTN sudah membantu persiapan 902,881 penuntut institut pengajian tinggi membabitkan WPP RM1.33 bilion.

“Pemberian WPP ini adalah permulaan kepada usaha PTPTN bagi memastikan tiada pelajar yang sukar memasuki institusi pengajian tinggi disebabkan masalah kewangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 7:12 PM