AHMAD Zahid
AHMAD Zahid
Nor Azura Abdul Jalil


KUALA LUMPUR: Tujuh kes rasuah yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) kekal di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan demikian selepas menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi memindahkan tujuh kes itu ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Dalam keputusannya, Mohd Nazlan berkata, mahkamah mendapati tiada kesilapan dalam permohonan Mahkamah Sesyen berdasarkan permohonan mengikut Seksyen 104 permohonan subseksyen Akta 1948.

Menurutnya, perintah pemindahan tidak boleh dikatakan tidak benar atau tidak sesuai untuk membenarkan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen.

Pada 31 Julai lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad membenarkan permohonan Ahmad Zahid yang berdepan tujuh pertuduhan menerima rasuah berhubung VLN untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Dengan keputusan itu, ini bermakna tujuh pertuduhan berkenaan akan dibicarakan bersama 33 lagi pertuduhan rasuah berhubung VLN yang turut dihadapi Ahmad Zahid di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Bagi tujuh pertuduhan itu, Ahmad Zahid, 66, didakwa menerima rasuah berjumlah S$4.24 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre di China dan VLN.

Ahmad Zahid didakwa melakukan perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 hingga 2 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 5:40 AM