Siraj Mohd Zaini


Mayat wanita yang disumbat dalam beg adalah mangsa pembunuhan kejam apabila pemeriksaan menemui 13 kesan tikaman di dada dan perutnya selain kesan kelar pada leher.

Mayat berkenaan kemudian disumbat dalam beg pakaian dan dibuang ke longkang di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, Shah Alam, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa dikenali sebagai Tan Siew Mee, 52, bekerja sebagai pengurus di sebuah restoran di pusat beli-belah di Subang Jaya.

Menurutnya, bedah siasat mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, kelmarin, menyatakan mangsa dipercayai dibunuh tiga hari sebelum mayatnya ditemui dalam beg di longkang berkenaan.

“Hasil bedah siasat menemui 13 kesan tikaman objek tajam dipercayai pisau dan kesan kelar pada lehernya.

“Barang berharga seperti cincin masih berada di jari mangsa, sekali gus menolak dakwaan bahawa mangsa dirompak sebelum dibunuh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.


LAPORAN portal berita Harian Metro

Harian Metro Isnin lalu melaporkan, mayat wanita ditemukan pekerja kontraktor di dalam sebuah beg di longkang sedalam dua meter.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, mangsa berasal dari Kedah dan tidak mempunyai anak serta tinggal di sebuah kondominium di Subang Jaya dengan suaminya dikenali sebagai Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe, 79.

“Mayat mangsa sehingga kini tidak dituntut kerana suaminya gagal dikesan oleh pihak polis sehingga kini.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suami si mati diminta tampil dengan menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohamad Daniel Lee Abdullah di talian 019-682 0550 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Baharudin berkata, polis juga mengesahkan menerima laporan daripada rakan mangsa pada 24 Ogos lalu di Balai Polis USJ8 yang menyatakan gagal mengesan serta menghubungi mangsa.

Katanya, polis masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Sumbat mayat wanita dalam beg

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 1:17 PM