Gambar Hiasan
Shamsul Munir Safini


TERDESAK mahu meminjam wang daripada ibunya, jurujual tergamak menipu polis dengan membuat laporan palsu kononnya dia disamun tiga lelaki berparang di Jalan Rozhan, Bukit Mertajam kelmarin.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 22 tahun berkenaan terdesak untuk meminjam wang daripada ibunya selepas wangnya didakwa tercicir sebelum membuat laporan polis palsu kononnya kerugian RM2,700 kerana disamun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek membuat laporan di Balai Polis Machang Bubok kelmarin mendakwa dia disamun tiga lelaki berparang pada 1.30 pagi.

Katanya, berdasarkan laporan palsu suspek, dia mendakwa kehilangan beg jenama LV, I-Phone 7 plus, kad Bank Hong Leong Bank dan wang tunai dianggarkan RM2,200.

Nik Ros Azhan berkata, pengadu pada hari kejadian mendakwa memandu kereta dan sebaik sampai di lokasi kejadian keretanya dihalang kereta dinaiki suspek sebelum salah seorang daripada mereka membuka pintu keretanya dan menarik dia keluar.

“Suspek mendakwa, tiga lelaki berkenaan kemudian mengambil barang peribadi miliknya sebelum melarikan diri dan dia gagal mengenal pasti nombor pendaftaran kereta dinaiki mereka,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan suspek gagal menipu polis sebelum mengaku membuat laporan palsu meminta pihak berkuasa mencari wangnya yang didakwa tercicir selain mahu meminta bantuan keluarga untuk meminjam wang.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 1:21 PM