ISMAIL (tengah) melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan JPJ selepas Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Kebangsaan peringkat JPJ WPKL di Wangsa Maju. FOTO ASWADI ALIAS
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


NOMBOR pendaftaran VDV 8 mencatatkan bidaan tertinggi dengan jumlah bidaan RM73,000 sejak siri itu dilancarkan 15 Ogos lalu.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, siri nombor pendaftaran VDV berjaya mengumpul kutipan RM1.5 juta.

“Seramai 1,654 pembida terbabit dalam bidaan nombor pendaftaran siri VDV berkenaan.

“Nombor pendaftaran VDV 26 mendapat bidaan paling ramai iaitu 13 pembida, manakala bagi nombor pendaftaran VDV 88, VDV 99 dan VDV 77 masing-masing 12 pembida.

“Bagi nombor pendaftaran siri VDU yang dilancarkan 8 Ogos lalu, sebanyak RM1.06 juta kutipan berjaya dikutip dengan 727 pembida,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 di JPJ Wangsa Maju, hari ini.

Ismail berkata, nombor pendaftaran siri seterusnya adalah VDW yang akan dilancarkan 5 September ini.

“Siri VDW akan ditutup pada 9 September dan tarikh keputusan diumumkan pada 10 September.

“JPJ sudah melaksanakan Sistem Bidaan Atas Talian (JPJeBid) yang bermula dengan siri VDN pada 21 Jun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 1:27 PM