Skip this ad x
GAMBAR hiasan
Fardy Bungga


SUAMI bertindak mencekik dan menampar muka isterinya selepas menuduh wanita itu curang dengan lelaki lain di Pavilion Bundusan, Penampang kelmarin.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, lelaki warga Pakistan berusia 20 tahun itu turut mengugut membunuh isterinya.

Susulan kejadian itu, mangsa berusia 18 tahun yang bimbang dengan keselamatannya membuat laporan polis di Balai Polis Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, perselisihan faham antara suspek dengan mangsa berlaku selepas lelaki itu menuduh mangsa curang dengan lelaki lain.

Katanya, mangsa menafikan tuduhan itu namun suspek terus bertindak mencekik leher isterinya sambil mengugut membunuhnya.

“Suspek turut menampar muka isterinya sebelum menolak mangsa hingga terjatuh.

“Mangsa yang bimbang keselamatan diri membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, mangsa mengadu sakit pada bahagian muka, badan dan sudah dirujuk ke hospital untuk rawatan.

“Suspek ditahan selepas mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 2:09 PM