Rumah mangsa yang menjadi sasaran penjenayah. FOTO Ihsan PDRM
Nur Saliawati Salberi


WANITA warga emas berdepan detik cemas selepas diacukan pisau di rumahnya di Kilometer 21, Jalan Merlimau- Melaka, Jasin semalam.

Kejadian 10.30 pagi itu mengakibatkan mangsa berusia 73 tahun kerugian RM600.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian mangsa yang tinggal seorang diri di rumah didatangi dua lelaki menaiki Proton Wira merah hati kononnya ingin memburu ayam denak.

Beliau berkata, seorang daripada suspek meminta air untuk minum daripada mangsa.

“Mangsa yang takut dan curiga kemudian menutup pintu rumah sebelum beberapa minit kemudian menghulurkan air melalui tingkap.

“Bagaimanapun ketika mangsa hendak menghulurkan air suspek memegang tangan dan menendang pintu rumah sehingga terbuka,” katanya.

Menurut Arshad, ketika kejadian seorang lagi suspek yang juga pemandu berkeliaran di kawasan rumah.

Beliau berkata, suspek yang masuk ke rumah bertindak mengacukan sebilah pisau kepada mangsa.

“Barangan milik mangsa seperti beg duit, kad bantuan sara hidup, kad bank serta sejumlah wang tunai lebih RM500 yang semuanya dianggarkan RM600 dilarikan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan selain usaha mengesan suspek berusia 20-an sedang dijalankan dan kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat salurkan kepada polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 3:08 PM