Ahmad Norhisham mengaku salah atas pertuduhan mencederakan isteri dan anaknya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini. FOTO Hannneeyzah Bariah Baharin
Ahmad Norhisham mengaku salah atas pertuduhan mencederakan isteri dan anaknya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini. FOTO Hannneeyzah Bariah Baharin
Hannneeyzah Bariah Baharin


LELAKI dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isteri dan anak lelakinya, Jumaat lalu.

Tertuduh, Ahmad Norhisham Kamaruddin, 40, dari Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu mengaku salah di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Norhisham didakwa menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Syarifah Rohani Syed Ahmad, 43, di sebuah rumah di Jalan Pasir Panjang di sini, pada 12.30 tengah hari 23 Ogos lalu.

Dia turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap anak lelakinya, Amirul Iman Ahmad Norhisham, 19, di lokasi, waktu dan hari sama bagi pertuduhan kedua.

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk jatuh hukum.

Abdul Hayyi turut membenarkan Ahmad Norhisham diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki membelasah isteri dan anaknya kerana tidak puas hati selepas mendakwa wanita itu mengusik telefon pintar miliknya.

Tindakan ganas itu dilakukan lelaki berusia 40 tahun selepas berlaku perselisihan faham dengan isterinya di kediaman mereka di Jalan Pasir Panjang Jumaat lalu.

Kejadian menyebabkan wanita itu cedera badan manakala anak lelakinya luka di bahagian dada akibat digigit suspek.

Berita berkaitan

• Usik telefon je pun...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 6:36 PM