Nur Saliawati Salberi


AHLI Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka dikesan positif ganja selepas tampil menyerah diri malam tadi.

Dia yang juga pemimpin komuniti setempat dikatakan hadir ke Balai Polis Masjid Tanah selepas dipercayai terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shahrul Laili Masduki berkata, lelaki berusia 39 tahun itu tampil menyerah diri di balai polis 9.45 malam tadi.

Beliau berkata, sejurus hadir individu itu diminta menjalani ujian saringan awal air kencing.

“Individu itu hadir sendiri ke balai polis bukan ditangkap di rumah atau pejabat.

“Setakat ini (saringan awal) ujian itu didapati positif dadah dipercayai jenis ganja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Era Digital (KUED) di Ayer Keroh hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun keputusan (ujian saringan) itu belum disahkan oleh Jabatan Patalogi.

“Semakan dilakukan mendapati individu berkenaan sebelum ini tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Bagaimanapun dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Mengulas mengenai KUED yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini sehingga 1 September ini, Shahrul Laili berkata, karnival ini bertujuan mencegah jenayah melalui penggunaan sistem digital My Smart Shopper (MSS) terutama dalam sektor perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 6:57 PM