Mohamad Hussin


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri majlis perasmian Kompleks Pelawat dan Taman Etnobotani, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketibaan Dr Mahathir jam 9 pagi disambut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Dahlan.

Sebaik tiba, Perdana Menteri melakukan simbolik penanaman pokok kembang semangkuk dan beramah mesra dengan murid sekolah sekitar bandar raya ini.

Dr Mahathir kemudian diberi taklimat transformasi Taman Botani Perdana oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Beliau meluangkan masa hampir sejam melawat kompleks berkenaan yang menempatkan tujuh pusat tumpuan orang ramai.


DR Mahathir merasmikan Kompleks Pelawat dan Taman Etnobotani, Taman Botani Perdana sambil diperhatikan Dr Shahruddin (kiri) dan Nor Hisham. FOTO Aswadi Alias

Taman Botani Perdana adalah taman yang dinaik taraf daripada taman rekreasi kepada taman botani.

Bagi menjadi taman botani yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, ia perlu dilengkapkan dengan elemen penyelidikan, pendidikan dan konservasi.

Antara yang terdapat di taman berkenaan adalah Herbarium (penyelidikan), Pusat Interpetif (pendidikan), Taman Etnobotani (konservasi), Kompleks Pelawat, Pusat Interpetasi, Herbarium dan Taman Etnobotani.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 11:42 AM