AZMI (tengah) mengaku tidak bersalah atas tuduhan menumbuk isterinya. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


SEORANG tukang kebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan menumbuk isterinya Sabtu lalu.

Tertuduh, Azmi Zainudin, 47, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera ke atas wanita berusia 44 tahun tiga bulan dengan menumbuk muka dan tangan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumah di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh, pada 2 petang, 24 Ogos lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin tidak mencadangkan sebarang jaminan, bagaimanapun, terpulang kepada budi bicara mahkamah sekiranya ingin menawarkan jamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, hanya mendiamkan diri ketika diminta untuk membuat rayuan.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 3:46 PM