Laporan portal Harian Metro mengenai kejadian mangsa dicederakan sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


DUA lelaki yang disyaki terbabit dalam kes mencederakan seorang lelaki di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Gombak pada 24 Ogos lalu sudah ditahan polis.

Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan pada 27 dan 28 Ogos lalu dalam dua serbuan berasingan di Negeri Sembilan dan Selayang, Selangor.

Difahamkan, hasil siasatan terhadap kedua-dua lelaki berusia 19 dan 25 tahun itu mendapati seorang daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila seorang daripada suspek baru memutuskan hubungan cinta dengan wanita yang kini menjadi kekasih baru mangsa.

“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Selayang kerana kecederaan yang dialami.

“Kedua-dua suspek direman sehingga 3 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pada 25 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki cedera selepas diserang menggunakan parang selepas mangsa keluar dengan wanita yang didakwa bekas kekasih suspek.

Berita berkaitan

Cemburu punya pasal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 6:52 PM