GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI ditemui tidak bernyawa dalam kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Cempaka 14, Taman Cempaka, Ampang Jaya semalam.

Mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemui di bahagian tempat duduk pemandu Proton Saga dengan enjin masih hidup dan berkunci oleh orang awam pada 6.25 petang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, orang awam yang berada di lokasi kemudian menghubungi polis sebelum sepasukan polis tiba melakukan pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mendapati tingkap cermin bahagian belakang sebelah kiri tidak ditutup rapat dan diselit dengan kain hitam.

“Bahagian luar kereta mangsa turut terdapat getah paip berukuran 1.7 meter yang disyaki dimasukkan ke dalam lubang ekzos ke bahagian tingkap berkenaan,” katanya.

Noor Azmi berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan mangsa berusia 45 tahun itu turut menemui dompet miliknya yang mengandungi lesen memandu, kad bank dan wang tunai serta sebuah telefon bimbit jenama Iphone 6S.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan fizikal ditemui pada mangsa. Proses bedah siasat terhadap mangsa dilakukan hari ini bagi mengetahui punca kematian.

“Sementara ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan punca kematian selepas bedah siasat dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 11:25 AM