SUSPEK berusia 57 tahun (tengah) bersama dua rakannya dicekup polis di Kampung Rambai, Mukim Bukit Raya, Pendang. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI yang berperwatakan alim dengan memakai kopiah rupa-rupanya ‘tokan’ dadah, malah menjadikan rumahnya di Kampung Rambai, Mukim Bukit Raya, Pendang, sebagai ‘port’ menagih dan membungkus dadah.

Suspek berusia 57 tahun bersama dua rakannya berusia 45 dan 32 tahun itu dicekup polis dalam serbuan di rumahnya pada 12.05 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang hasil maklumat dan risikan polis.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 13 peket plastik dan keratan straw berisi heroin dengan anggaran berat 15.25 gram di atas meja kayu berhampiran suspek.

“Turut ditemui empat peket plastik dan satu keratan straw berisi syabu dianggarkan seberat 5.35 gram, dan satu peket plastik berisi ganja dengan anggaran berat 1.39 gram.

“Satu alat penimbang, gunting besi, pemetik api dan enam peket plastik kosong dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

“Turut dirampas sejumlah wang tunai sebanyak RM RM3,106,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


DADAH yang dirampas polis daripada suspek. FOTO Ihsan Polis

Katanya, pemeriksaan pada tubuh badan suspek berusia 57 tahun itu turut menemui sejumlah dadah di seluar suspek.

“Polis menemui tiga keratan straw, satu peket plastik berisi heroin dengan anggaran berat 5.97 gram dan satu peket plastik syabu dengan anggaran berat 0.65 gram.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM1,584. Pemeriksaan air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah malah mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 12(2) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 12:58 PM